20 November 2010

warkah berlagu pilu untuk ROZMEY


RAKYAT MENGAMUK!


Setelah lapan bulan berlalu kemana sahaja dan dimana jua ceruk rantau samada di bandar, kampung, desa dan pekan, di hutan, dusun, pendalaman, gua dan gunung semua mahu, semua teruja, semua menggigil dan semua demam fenomena Dr Rozmey 2 Alam.

Tanpa mengira siapa mereka, Cina, India, Melayu dan etnik Malaysia lain.....

Sudah tentu sebahagian daripada kita cukup mengenali ayat-ayat ini malah mungkin juga ramai yang sudah menghafalnya. Tiap-tiap hari melalui rencana iklan berbayar yang disiarkan oleh KOSMO, Dr Rozmey mencanangkan kepada rakyat Malaysia kehebatan filem pertama terbitan beliau yang kononnya bakal menjadi filem terlaris dalam sejarah kutipan filem Malaysia.

2 alam sebenarnya telah mencetuskan kontroversi dalam industri perfileman tempatan sebab penerbitnya yang sangat berani, Datuk Dr Rozmey Che Din atau lebih mesra di panggil DDR seorang pengamal perubatan menongkah arus perfileman tanah air dengan berani meletakkan sasaran kutipan sehingga RM40 juta keatas filem ini. Korang kenal tak siapa dia ni? Kalau tak kenal, pegi wikipedia profil dia. Dr Rozmey yang juga pengasas diet Jus Mate anggap 2 alam bakal kembalikan kegemilangan industri seni perfileman Malaysia dan yakin filem ini bakal mencetuskan fenomena baru seni negara.

Persoalanya adakah impian Dr Rozmey ini sekadar cakap kosong seseorang yang baru saja berjinak dalam industri pembuatan filem ataupun merupakan keazaman yang benar-benar dapat mengangkat imej perfileman tempatan yang selama ini dihantui kehebatan filem luar terutamanya dari Hollywood? Blog Lagenda AMARAIZAT akan berkongsi dengan korang sume berdasarkan fakta dan senario terkini industri perfileman Malaysia. Fakta ini diperolehi dari web FINAS.

Kalau korang nak tau, dalam sejarah industri perfileman negara, filem tempatan yang paling laris kutipannya dari segi jualan tiket adalah filem Adnan Sempit yang diterbitkan MIG production pada tahun 2010. Memang lawak gila babi filem ni. Filem ini telah melakar rekod baru kutipan filem tempatan dengan memungut RM7.66 juta. Filem kedua tertinggi dari segi kutipan tiket dipegang oleh filem Lagi-lagi Senario (2001) yang mendapat kutipan sebanyak RM6.33 juta. Filem animasi popular Upin dan Ipin yang ditayangkan pada tahun 2009, muncul sebagai filem ketiga terlaris dengan kutipan keseluruhan sebanyak RM6.20 juta.

Ketiga-tiga filem ini dikatakan sangat popular dan mempunyai unsur komedi yang merupakan kesukaan peminat filem Melayu. Filem 2 alam yang telah ditayangkan pada 18 November lalu dikategorikan sebagai filem bergenre drama dan seram. Berdasarkan rekod kutipan filem-filem melayu terdahulu, filem kategori drama dan seram mempunyai rekod sambutan yang bercampur. Daripada senarai 10 filem tempatan paling laris sepanjang zaman, hanya 3 filem genre drama dan seram berjaya berada dalam senarai. Filem tersebut adalah Sembilu 2 (drama), Maria Mariana (drama) dan Jangan Pandang Belakang (seram). Selebihnya didominasi oleh filem komedi, aksi dan komedi seram.


Berdasarkan data kutipan yang dikeluarkan oleh Finas tersebut, mampukah 2 alam sebuah filem berat dengan sedikit unsur seram yang didakwa penerbitnya penuh dengan nilai murni serta keinsafan memecahkan dominasi filem komedi sebagai filem kesukaan ramai penonton filem melayu sekaligus muncul sebagai filem terlaris pernah dihasilkan? Sehingga kini, kutipan filem tempatan masih gagal memecah tembok RM10 juta. Sebab tu la, misi penerbit 2 alam boleh dikatakan sebagai satu misi yang amat berani dan berimaginasi sangat tinggi.

Filem yang berjaya mencatat kutipan paling tinggi di Malaysia ketika ini dipegang oleh filem keluaran Hollywood. Sekual Transformer, Revenge of the Fallen dan Avatar dikatakan memungut kutipan sebanyak RM27 juta di negara ini. Filem-filem ini ditayangkan di semua pawagam tanah air dan ditonton oleh lapisan masyarakat dari pelbagai kaum dan tidak terhad kepada satu kaum sahaja. Secara purata kebanyakan filem Hollywood mega meraih angka kutipan sehingga RM12 juta atau RM 15 juta sahaja di negara ini. 


Oleh itu, adalah sesuatu yang menakjubkan sekiranya filem 2 alam mampu mencapai kutipan sebanyak RM 40 juta. Ini secara tidak langsung menjadikan 2 alam filem tertinggi kutipannya di Malaysia dan mencatat sejarah filem tempatan PERTAMA menewaskan filem keluaran Hollywood untuk muncul menerajui carta box office filem terlaris sepanjang zaman di Malaysia.

Filem 2 alam secara teorinya mempunyai skop penonton yang terhad, yang terdiri dari penonton dari bangsa Melayu. Amat jarang sekali filem berbahasa melayu berjaya menarik perhatian dari bangsa lain terutama kaum cina dan india. Maaf cakap, tapi ini kan fakta. 


Mengikut data yang dikeluarkan finas pada tahun 2009 jumlah keseluruhan penonton filem Melayu adalah 6.03 juta, yang tertinggi pernah direkodkan. Sebanyak 27 filem cereka Melayu berjaya ditayangkan pada tahun tersebut. Secara puratanya setiap filem berjaya menarik 223,000 penonton. Jumlah keseluruhan kutipan filem melayu pada tahun tersebut pula adalah RM 50.84 juta. Bayangkan sebanyak 27 filem diperlukan untuk mencapai kutipan sebanyak itu manakala Dr Rozmey pula amat yakin hanya satu sahaja filem terbitannya ia mampu memperoleh kutipan sebanyak RM 40 juta! Untuk mencapai angka tersebut, filem 2 Alam perlu menarik sekurang-kurangnya 4.75 juta penonton dan peminat filem.

Segalanya nampak mustahil dan berliku bagi 2 alam untuk melakar rekod baru dalam industri perfileman negara. Kalau beliau gagal mencapai misi yang ditetapnya sendiri pastinya akan mengundang cemuhan dan sindiran warga seni tanah air. Kalau korang ikuti perkembangan pembikinan filem ni, beberapa siri kontroversi yang berlaku terutama penyingkiran Hairi Othman sebagai pengarah bersama sehinggalah ke tarikh tayangan yang ditunda dan keenganan Dr Rozmey mengikut skim wajib tayang Finas menambahkan lagi rencah drama filem sulung terbitan beliau ni. Aku rasa filem ni tertunda untuk ditayangkan dah banyak kali dah. Naik muak dah dengar berbagai-bagai alasan.

Filem 2 alam telah ditayangkan serentak di seluruh pelusuk pawagam negara pada 18 November yang lalu. Filem ini menghadapi saingan hebat satu lagi filem keluaran Hollywood, Harry Potter and The Deathly Hollow part 1 yang telah ditayangkan sehari lebih awal pada 17 November. Mampukah filem 2 alam bertahan dengan saingan blockbuster Hollywood ini? Tercapaikah misi mustahil Datuk Dr Che Rozmey Che Din untuk mengangkat filem kebanggaan beliau ini ke tahap tertinggi sejarah industri perfileman Malaysia? 30 juta rakyat Malaysia (benarkah?) akan menentukannya!



Sudahkah anda menggigil?, Rasa demam?, Adakah anda bersedia dipapah, menangisi keinsafan menonton filem ini? bersamalah kita saksikan samada 30 juta rakyat Malaysia, tua, muda, bayi, remaja, melayu, cina dan india berpusu-pusu dengan satu ledakan, kemuafakatan, tanpa ikatan, momokan namun hanya kecintaan, kekaguman , kemurnian, kesucian langkah untuk menonton karya agung filem pertama DDR. (teks dari iklan beliau di akhbar KOSMO!)

* Rujukan data dan rekod dari laman web Finas dan Cinema Malaysia.

DDR dok sini diam-diam la. majukan bisnes tu dulu

note::aku bukan nak kondem sesape. tapi kalau bercakap tu, biarlah di dalam kotak pemikiran. tetapi kalau berfikir, mmg patut di luar kotak pemikiran. renung-renungkan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...