19 October 2013

bukan kaya yang kita cari, bukan miskin yang kita minta






pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tak diredhaiNya. itu dinamakan istidraj.

Rasullulah SAW bersabda :


Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.

                                         (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

tapi manusia yang derhaka dan banyak buat maksiat terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

macam mana pulak dengan orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa sunat isnin, khamis dan puasa sunat yang lain. tapi, hidup mereka biasa sahaja. ada yang susah juga. kenapa? 

dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. tak kisahlah! sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah SAW naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong. Nabi Sulaiman sebesar-besar pangkatnya sampai semua makhluk kat muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong. secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

manusia istidraj ini adalah manusia yang lupa daratan. meski berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. depa pandang hina pada orang yang beramal. 

“dia tu siang malam tonggang tonggek semayang, pegi masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” 

sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak sebab untuk menghancurkannya.

cuba kita perhatikan anai-anai kalau tak bersayap, dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tapi kalau Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. kelkatu, bila mendapat nikmat iaitu sayap, dia akan cuba melawan api. macam tu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah SWT.

firaun pun sama. nikmatnya tak terkira, tak pernah sakit, bersin pun tak pernah sebab Allah berikannya nikmat kesihatan. orang lain selalu sakit, tapi Firaun tak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

jadi, kalau kita kaji dan fikir betul-betul, terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. apsal orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup mewah. pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

aaaaaaaa tapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mercedes, dengan motor besar kita katakan itu istidraj. orang naik pangkat, istidraj. orang-orang besar, istidraj. bukan macam tu! orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. dan jangan pula kita tak mahu kekayaan. kalau nak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita minta.

tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, maka selamatlah kita di dunia dan akhirat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...