Entri yang bernada serius dan khusus untuk bacaan para mahasiswa sahaja. Sekian
Kalau anda sedia maklum, Universiti mempunyai corak politiknya sendiri. Walaupun ada kepala keretapi yang mengikat dari luar kampus. Tak perlu nak menafikan penglibatan parti politik luar dalam mengacuankan citarasa politik kampus. Walaupun kedua-dua belah pihak dari parti politik menafikan penglibatan mereka. Namun, mahasiswa masih bijak berfikir. Kami tahu semuanya. Namun kami masih terleka dan biarkan sahaja. Mungkin disebabkan suapan makan dan minum sudah membuatkan sendawa yang kuat. Buatkan kami terus lena dibuai mimpi.
Kami merasakan tugas sebagai pelajar perlu di bilik kuliah. Perlu dihiasi dengan anggukan dan kata sokongan kepada si pemberi. Perlu kepada penghawa dingin dan kesenangan kolej untuk terus berkubur di kolej sehingga tamat pengajian. Sedangkan di dalam diri terdapat penentangan. Di dalam hati terdapat fikiran yang diluar kotak. Namun disebabkan kotak itu adalah kotak yang teduh. Maka teruslah kami berada di dalam kotak. Asalkan bedak di muka tidak cair dek kepanasan bercakap diluar kotak teduh.
Ada juga dikalangan kami yang mencari identiti orang lain. Katanya kita mengikut majoriti... Katanya aku sokong Barcelona sebab ramai sokong Barcelona. Bukan sebab permainannya. Apatah lagi hendak bangun menyorak gol kepada pasukan lawan Barcelona di tengah-tengah kedai mamak yang dikelilingi penyokong Barcelona. Ok, contoh je. Ini bukan masa untuk cerita pasal bola.
Mahasiswa di Universiti merasakan untuk apakah berkata tidak kalau terpaksa menyewa di luar kampus. Untuk apakah berkata tidak kalau terpaksa bersusah payah mengikut birokrasi ‘Pejabat Hal Ehwal Pelajar’. Bukan nak menyuruh mahasiswa berdiri gagah di gazebo mengangkat tangan mengatakan penentangan. Bukan mendesak mahasiswa menunjukkan penumbuk tanda tidak bersetuju. Namun anda ada fikiran yang tersimpan. Kita adalah mahasiswa. Bukannya pelajar sekolah yang mendapat skim pinjaman buku teks. Bayangkan jika jiwa anak muda seperti kita wujud pada zaman Pengisytiharaan Malayan Union? Sudah pasti padang Kelab Sultan Sulaiman lenggang dari suara kita. Apatah lagi jika mahukan kita berada Dataran Tahrir macam kat Mesir tu!
Entri ini bukan mengherdik. Mahasiswa adalah bakal pembuka jalan pemikiran. Bukan hanya mengikut peta yang dilakar si pemberi. Namun Mahasiswa adalah pembuka juga peneroka!!. Hormatilah pemikiran mahasiswa. Cukuplah pengajaran kisah pembunuhan Hang Nadim itu menjadi sejarah buruk dunia intelek orang muda. Apalah gunanya kita menyatakan bekerja keras meniru idea gagasan institusi pendidikan di Barat sana. Katanya dunia penyelidikan di sana jauh lebih terbuka. Dunia penyelidikan di sana penuh dengan mahasiswa yang hidup. Bukan mahasiswa yang lesu. Namun dalam isu kebebasan mahasiswa melawan arus kita mengambil pendekatan dunia komunis. Jangan salahkan Chin Peng andai kita sendiri mewarisi pemikirannya.
Kepada mahasiswa yang hanya membawa bendera tidak. Kita bukannya pengikut rentak orang luar disana. Bukan semuanya perlu ditidakkan. Bukan semuanya perlu didemonstrasikan. Kita punya jatidiri. Apalah bezanya kita jika kita mahasiswa berfikiran di luar kotak. Orang luar yang sepatutnya tunduk hormat diatas kata pemikir dari orang muda bergelar mahasiswa.
Ya Allah…pimpinlah generasi kami dari insan yang menyayangi. Buatlah pilihan yang terbaik. Salam ikhlas.
note::selamat bertanding kepada rakan-rakan yang terlibat dalam pilihanraya kampus. semoga berjaya
No comments:
Post a Comment