26 November 2011

awal muharram, disini bermulanya titik tolak kehidupan


pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. renung dalam-dalam. kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.


kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. begitu juga dengan usia remaja. manisnya seperti jari yang comel mulus ini. apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. awas!! di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. bersediakah anda?

seterusnya naik kepada jari ketiga. jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. zaman remaja ditinggalkan. alam dewasa kian menjengah. diperingkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. namun, anda mesti berhati-hati kerana dikala ini banyak “hantu-hantu pengacau” yang datang menggoda. hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

kita beralih kepada jari telunjuk. jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.

akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. bak kata orang Jawa “cap jempol” atau cap jari. kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata “good” atau “yes” sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.


*********************************** tamat mukadimah **************************************



jadi bersempena menyambut Tahun Baru Hijrah 1433H, mari kita sama-sama berazam untuk memperbaiki diri sendiri supaya memperbanyakkan ibadah dan amalan-amalan kita kepada Allah SWT disamping itu marilah kita sama-sama membanyakkan istighfar, bertaubat, berzikir, berselawat dan berdoa, semoga kita semua berada dalam redha Allah SWT dan syafaat Nabi Muhammad SAW.

sedikit review kepada sejarah Hari Maal Hijrah bagi rakan rakan pembaca yang mungkin telah terlupa. maklumlah kita ni kan manusia biasa. tak terlepas dari lalai dan lupa.

hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.

Muharram adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

semalam telah berlalu pergi, hari ini terus dilalui dan esok belum pasti. salam Maal Hijrah untuk semua. semoga apa sahaja yang ingin kita lakukan, matlamat utama kita ialah untuk mencari redha Allah, walaupun ia nampak berbeza dari biasa. 1433H, persefahaman asas perpaduan ummah




p/s : cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu. Renung dan fikir dalam-dalam. dimanakah kita sekarang???


mukadimah credit to nizarazu.com


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...