tak semua orang anggap kesusahan tu sebagai satu yang menyakitkan. pepatah melayu pun
ada menyebut 'alah bisa tegal biasa'. kerana dah biasa dengan
penderitaan, jangan terkejut kalau ramai antara kita yang lebih rela terus
hidup dalam kesusahan dan penderitaan, berbanding ambil langkah
perubahan untuk baikinya.
bagi mereka, lebih baik terus hidup kais
pagi makan pagi kais petang makan petang. biar pun sakit dan makan tak pernah
cukup, lebih baik begini, daripada menyambung pelajaran, menambahkan kemahiran
dan kelulusan agar boleh mencari pekerjaan yang lebih baik.
lebih baik gemuk, susah nak
cari baju, beli ubat kencing manis, kolestrol dan darah tinggi bertambah-tambah dan
perlu bekerja lebih menampung belanja makan dan ubat yang meningkat, daripada
mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.
lebih baik perniagaan kita
ini sekadar cukup-cukup makan, daripada mengubah strategi, membuat pinjaman
untuk menambah modal bagi meningkatkan pelaburan kerana kita sudah biasa
begini.
lebih baik bercerai berai dan
hancurkan rumahtangga, daripada masing-masing mengubah apa yang patut diubah. ubah sikap, ubah kebiasaan.
jangan terkejut kalau ramai
yang berfikiran begitu.
malah lebih baik rakyat untuk
mereka terus ditipu, diperintah oleh pemimpin-pemimpin yang korupsi dan tidak
berintegriti, malah terus derita dengan ketidakadilan politik dan sosial,
daripada mengambil langkah mengubah pangkah, untuk berubah. biarlah terus
derita dan sengsara daripada mengejar harapan dan kebaikan yang susah dan payah
jalan mencapainya itu.
tak keterlaluan juga bagi
sesetengah pejuang untuk membiarkan diri mereka terus ditipu, kalah dan terus
kalah, mengulangi sahaja strategi lama yang mereka sudah mahir dan biasa,
daripada memberanikan diri untuk berubah, ke arah yang lebih baik, kerana
berubah itu SUSAH.
akhirul kalam, SELAMAT HARI PEKERJA kepada seluruh rakyat Malaysia yang bekerja. jadilah pekerja yang berintegriti dan berdedikasi.
selamat bercuti.
No comments:
Post a Comment